Janatularif

Janatularif
Patio de la Acequia, Laman Terusan Air
LokasiGranada, Andalusia, Sepanyol
Dibina padaabad ke-14
Majlis perbandaranKementerian Kebudayaan
Tapak Warisan Dunia UNESCO
Nama rasmi: Alhambra, Janatularif dan Albayzín, Granada
JenisKebudayaan
Kriteriai, iii, iv
Direka bentuk pada1984 (sesi ke-8)
1994 (18th sesi – Lanjutan)
No. Rujukan314
RantauEropah

Janatularif (Arab: جَنَّة الْعَرِيف, rumi: Jannat al-‘Arīfcode: ar is deprecated ) atau Generalife dalam bahasa Sepanyol (Sebutan Sepanyol: [xe.ne.ɾa.ˈli.fe]) ialah sebuah istana peranginan dan estet desa milik dinasti Nasar, pemerintah-pemerintah Emiriah Granada di Andalus dahulu. Ia terletak betul-betul ke arah timur di atas bukit dari kompleks istana Alhambra di Granada, Sepanyol.

Etimologi

Etimologi yang paling lazim untuk "Generalife" ialah ia berasal daripada jannat al-'arīf (Arab: جَنَّة الْعَرِيفcode: ar is deprecated ) yang boleh bermaksud "Taman Arkitek",[1][2][3] "Taman Seniman",[4] "Taman Makrifat",[3] ataupun "Taman Pemain Seruling".[5] Akan tetapi menurut Robert Irwin, etimologi tradisional ini tidak dapat dipercayai dan asal usul sebenar nama istana ini tidak begitu jelas.[3] Versi awal nama Janatularif yang direkodkan pada abad ke-16 oleh Marmol ialah Ginalarife, yang J. D. Latham berpendapat merupakan bukti bahawa perkataan pertama asalnya ialah jinan (Arab: جِنَاْنcode: ar is deprecated ; bentuk jamak yang berasal daripada akar yang sama), bukan jannat.[5]

Nama asal Janatularif mungkin lebih kurang bermaksud "Dusun Besar".[3] Inskripsi hiasan oleh Ibnu Yayyab di dalam istana ini menamakannya Darul Mamlakatussaidah ("Rumah Kerajaan yang Bahagia").[6][7]

Sejarah

Di bawah Dinasti Nasar

Patio de la Acequia pada abad ke-19, sebelum dipasang air pancut moden

Pada zaman Nasariyah, Janatularif ialah sebuah almunia (dari bahasa Arab al-munya, yang bermaksud "ladang"[8]), sebuah vila desa yang digunakan sebagai tempat peranginan peribadi oleh golongan elit dan juga estet pertanian dengan fungsi agrikultur.[7][9] Estet luar bandar dan taman sedemikian mula dibina oleh golongan pemerintah dan bangsawan di al-Andalus sejak zaman Umaiyah (abad ke-8-10).[2][10] Estet sedemikian juga terdapat di beberapa bandar bersejarah di Afrika Utara, seperti Taman Agdal di Marakesy, yang masih wujud kini.[11]:25 Taman-taman begini direkodkan wujud di Granada seawal pemerintahan dinasti Ziri (abad ke-11).[12] Contoh-contoh binaan jenis ini dari zaman Nasariyah boleh didapati di lereng gunung berdekatan, seperti Istana Alijares dan Darularusah (kedua-duanya mungkin dari abad ke-14),[13][14][9] dan tempat-tempat lain di Granada, seperti Alcázar Genil dan Cuarto Real de Santo Domingo (kedua-duanya dari abad ke-13, yang pertama asalnya dari zaman al-Muwahhidun).[12][9]

Berdasarkan hiasan tertua istana ini yang pernah dikaji, Janatularif kemungkinan besar dibina oleh Muhammad II (r. 1273–1302) pada akhir abad ke-13,[7][2] atau mungkin oleh Muhammad III (r. 1302–1309) pada awal abad ke-14.[15] Walaupun baginda bukan yang memulakan pembinaannya, Muhammad III tetap menyumbang kepada cara ia dihias pada awalnya dan baginda juga telah menambahkan ruang mirador di astaka utara istana.[16][10] Penguasa-penguasa Nasariyah selepas itu juga menokok tambah padanya. Menurut satu inskripsi, ia telah diubah suai dan dihias semula tidak lama kemudian oleh Ismail I pada tahun 1319.[15][4] Beberapa inskripsi di sekitar pintu masuk ke Salón Regio telah dikarang oleh Ibnu Jayyab, wazir Ismail dan penyair diraja.[10] Terdapat bukti bahawa Muhammad V (raja 1354–1359 dan 1362–1391), yang pernah menjalankan kerja-kerja pembinaan di Alhambra, juga menjalankan kerja-kerja tersebut di sini.[7] Akhir sekali, Yusuf III (r. 1408–1417) telah mengubah suai bahagian selatan istana pada abad ke-15.[7]

Selepas Reconquista

Selepas Reconquista dan pemerintahan Kristian Sepanyol bermula di Granada, Janatularif mengalami pelbagai perubahan dan penambahan dari abad ke-16 hingga abad ke-20.[17][3] Antara perubahannya, Raja-raja Katolik Sepanyol Isabela dan Fernando telah menambahkan tingkat atas pada astaka utara Patio de la Acequia ("Laman Terusan Air") pada tahun 1494, manakala Patio de la Sultana ("Laman Sultanah") yang di sebelahnya langsung direka bentuk semula pada abad ke-16.[7][15] Pengembara Venice Andrea Navagero yang melawat Janatularif pada tahun 1524–26, menerangkan rupanya sebelum banyak pengubahsuaian Sepanyol mula dilakukan. Catatan beliau berguna kepada sarjana moden dalam membina semula rupa asal istana ini dan taman-tamannya.[13]

Théophile Gautier, pelawat pertengahan abad ke-19, menulis:

Yang tinggal daripada Janatularif sekarang hanyalah beberapa lorong beratap dan beberapa buah panel arabes, yang malangnya telah diplaster dengan berlapis-lapis cat kapur seperti mereka degil ingin menyucikannya. Sedikit demi sedikit, arca-arca halus dan guilloche pada seni bina yang keluar daripada kisah dongeng ini telah dilenyapkan, ditutup dan ditelan. Apa yang kini tidak lebih daripada dinding yang hampir kelihatan seperti dimakan cacing, dahulunya hiasan berawang sehalus kepingan-kepingan gading yang orang Cina ukir dengan sabar menjadi kipas.[18]

Penampilan taman-tamannya kini, khususnya Jardines Nuevos ("Taman-taman Baru"), sebahagian besarnya adalah kerana Leopoldo Torres Balbás dan Francisco Prieto Moreno, yang telah menyusun aturnya semula antara 1931 dan 1951 dan meninggalkan pengaruh Itali.[17][7] Pada tahun 1958, satu kebakaran besar telah merosakkan sebahagian besar utara Janatularif. Walau bagaimanapun, kerosakan dan pembaikan kebakaran juga memberi peluang untuk menggali dan mengkaji susun atur asal taman berkenaan. Di Patio de la Acequia, ahli arkeologi menemui laluan berturap era Nasariyah yang asal dan berjaya mengenal pasti tanah asal taman Moor itu yang tertimbus di bawah 70 cm lapisan baru, serta saliran di sepanjang sisi terusan tengah yang menyiram dan mengairkan taman itu untuk. Namun, selepas penggalian, lapisan asal laluan dan taman ini dilitup semula setinggi setengah meter, salirannya disumbat, dan sebuah taman moden ditanam semula dengan flora-flora yang tiada kaitan botanikal dengan tema Moor yang asal.[19][13][3] Meskipun begitu, susun atur dan pembahagian ruang keseluruhannya masih mengikut susun atur asal.[19] Restorasi taman terbaru lebih mengikut flora asal taman ini.[7]

Sejak 1984, Janatularif telah menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO bersama-sama dengan Alhambra.[20]

Penerangan

Janatularif (bawah) dan Silla del Moro (atas), di atas bukit Sabika

Tapak masa kini

Janatularif hari ini menggabungkan unsur-unsur Nasariyah asal serta pelbagai unsur moden (terutamanya dalam rupa taman). Laluan pejalan kaki diturap dengan gaya tradisional Granada dengan mozek batu kerikil: batu putih dari Sungai Darro dan batu hitam dari Sungai Genil.[17]

Taman-taman luaran

Taman-taman Janatularif merangkumi tiga buah teres di lereng bukit, setiap satu berukuran kira-kira 35 meter lebar dan 250 meter panjang.[10] Dua teres yang terendah, di sebelah barat daya, mempunyai taman-taman pasar dan dusun. Dikenali hari ini sebagai Las Huertas, taman-taman ini sudah digunakan begini sejak abad ke-14.[7] Teres yang tertinggi menempatkan Jardines Nuevos ("Taman-taman Baru"), taman-taman abad ke-20 yang menuju ke istana-istana lama. Bahagian selatan taman ini direka oleh Francisco Prieto Moreno dan siap pada tahun 1951. Ia berdindingkan pokok-pokok sipres yang telah dipangkas, mempunyai kolam salib besar yang diilhamkan oleh taman Islam/Moor, bersama-sama dengan tumbuhan hiasan lain. Sebuah teater terbuka juga telah ditambahkan di sini pada tahun 1952. Bahagian utara taman, yang menampilkan labirin daripada belukar mawar, direka oleh Leopoldo Torres Balbás pada tahun 1931.[7]

  • The 20th-century Jardines Nuevos (New Gardens)
    Jardines Nuevos (Taman-taman Baru) abad ke-20
  • Las Huertas, the market gardens on the terraced hillside below the Generalife
    Las Huertas, taman-taman pasar di lereng bukit berteres di bawah Janatularif

Istana utama

Istana Janatularif tersergam di atas teres keempat di atas ke sebelah utara taman-taman luaran. Beberapa teres taman kecil juga dibina di lereng bukit di atasnya, bersama-sama dengan beberapa bangunan tambahan.[10] Bahagian utama kompleks istana ialah Patio de la Acequia ("Laman Terusan Air"), strukturnya yang terbesar. Halamannya lebih kurang empat kali panjang lebarnya, berukuran 12.8 kali 48.7 meter.[10] Ia dimasuki melalui halaman yang lebih kecil, Patio de Polo, di sebelah selatannya, yang diakses melalui satu halaman kecil lain, yang dikenali sebagai Halaman Penderuman (turun daripada kenderaan). Perkataan acequia berasal daripada perkataan Arab al-saqiyah, bermaksud saluran air atau bekalan air.[2] Bangunan itu mempunyai halaman yang panjang di dalamnya, dengan taman yang dibahagikan kepada empat petak bunga yang sama panjang. Taman bahagi empat jenis ini datang daripada taman chahar bagh dari Parsi,[19] yang tersebar ke barat dunia Islam dan juga terdapat di pelbagai taman dalaman rumah yang dipanggil riyad di al-Andalus dan Maghreb.[21][22] Di antara semua ini, mengalir memanjang di halaman ialah saluran air atau kolam yang dibarisi dengan dua deret air pancut yang memancurkan air seberang kolam. Laluan pejalan kaki berturap dibina di garisan tengah halaman yang lebih pendek. Di tengah laluan ini, di garisan tengah halaman, ialah platform berturap yang asalnya mempunyai air pancut yang khas.[19][13] Hari ini, terdapat dua air pancut dengan besen bulat dan cerat di tengah. Satu air pancut berada di hujung utara dan satu lagi di hujung selatan saluran.[7] Di tengah-tengah halaman, terdapat ruang peninjau kecil (mirador) yang menonjol dari dinding barat taman. Ruang berbentuk segi empat tepat itu berukuran 3.98 meter di setiap sisi dan bahagian dalamannya dihiasi dengan stuko berukir. Ini mungkin merupakan mirador yang paling awal diketahui dalam seni bina Nasariyah, menjadi ciri yang kemudian mula muncul di banyak istana.[10]

Patio de la Acequia diapit dua buah astaka di utara dan selatannya. Di selatan, Pabellón Sur ("Astaka Selatan") mempunyai dua tingkat dengan serambi anjung menghadap halaman, dan ia kurang dipelihara berbanding astaka utara.[7] Astaka utara pada asalnya dipanggil Majlis al-Akbari (lebih kurang bermaksud "Dewan Utama") atau Majlis al-'As'adi ("Dewan Bertuah") dalam bahasa Arab.[10] Ia didahului sebuah serambi anjung dengan lima gerbang, dengan satu gerbang yang lebih besar di tengah. Semua gerbang itu menampilkan hiasan stuko berukir dengan motif sebka dan jalur-jalur bertulisan khat nasakh. Di belakang gerbang itu ialah sebuah gajah menyusu yang ditutupi siling kayu yang diperbuat daripada bentuk-bentuk segi lapan. Laluan ini menuju ke Salón Regio (Ruang Diraja), melalui pintu masuk berhias stuko dengan tiga gerbang. Ruang itu mempunyai siling kayu juga. Gerbang-gerbang dan bahagian atas dinding dalam ruang itu dihiasi banyak hiasan stuko, seperti friz muqarnas (atau mocárabes). Di tengah-tengah bahagian utara ruang itu terdapat sebuah menara yang menggabungkan ruang mirador dengan hiasan stuko yang lebih halus. Mirador ini dapat melihat pemandangan Albaicín dari tingkap-tingkap di tiga sisinya.[7]

Tepat di atas Patio de la Acequia, di sebelah timur laut, ialah Patio de la Sultana atau Patio del Ciprés de la Sultana ("Laman Sultanah" atau "Laman Pokok-pokok Sipres Sultanah"). Dilengkapi kolam, taman dan laluan berturap, reka bentuk semasa halaman ini dan tarikh pembinaannya adalah dari selepas era Nasariyah.[13] Lorong beratap di sebelah utaranya dibina antara tahun 1584 dan 1586.[7][23]

  • Entrance to the Generalife Palace through the Patio de Polo
    Pintu masuk ke Istana Janatularif melalui Patio de Polo
  • The Patio de la Acequia (Courtyard of the Canal), looking north
    Patio de la Acequia (Halaman Terusan), menghadap ke utara
  • Patio de la Acequia, looking south to the Pabellón Sur
    Patio de la Acequia, menghadap ke selatan ke Pabellón Sur
  • Interior of the mirador (lookout) of the courtyard at its western side
    Bahagian dalam mirador (tempat tinjau) halaman di sebelah baratnya
  • The northern portico of the Patio de la Acequia, leading to the Salón Regio
    Serambi utara Patio de la Acequia, menuju ke Salón Regio
  • The entrance gallery to the Salón Regio (Royal Chamber)
    Gajah menyusu di pintu masuk ke Salón Regio (Kamar Diraja)
  • Interior of the Salón Regio (Royal Chamber)
    Bahagian dalaman Salón Regio (Kamar Diraja)
  • Interior of the mirador (lookout) on the north side of the Salón Regio
    Bahagian dalam mirador (tempat tinjau) di sebelah utara Salón Regio
  • The Patio de la Sultana (Courtyard of the Sultana), looking north
    Patio de la Sultana (Halaman Sultanah), menghadap ke utara

Tangga Air dan taman-taman hulu

Di atas Patio de la Sultana pula ialah Tangga Air atau Escalera del Agua, empat buah tangga yang pelepar di kedua-dua sisinya mempunyai saluran air yang mengalir sepanjang tangga.[13][7] Tangga tersebut diselangi oleh teres-teres atau pelantar-pelantar bulat kecil berair pancut. Di puncak tangga terdapat astaka kecil abad ke-19 yang dikenali sebagai Astaka Romantik (Pabellón Romántico). Bersebelahan dengan Tangga Air dan Patio de la Sultana ialah Taman-taman Hulu atau Jardines Altos, yang diletakkan pada aras-aras yang berbeza menaiki lereng bukit. Di hujung tenggara taman dan istana utama ialah Paseo de las Adelfas ("Siar Kaki Bunga Jepun"), yang hari ini merupakan laluan yang digunakan oleh pelawat untuk keluar dari Janatularif.[7]

  • The Water Stairway or Escalera del Agua
    Tangga Air atau Escalera del Agua
  • The water channels running on top of the balustrades of the Water Stairway
    Saluran air mengalir di atas pelepar Tangga Air
  • The Romantic Pavilion (Pabellón Romántico), built in 1836 on the probable site of the former Muslim prayer hall
    Astaka Romantik (Pabellón Romantico), dibina pada tahun 1836, mungkin di mana dewan solat Muslim pernah berada
  • The Jardines Altos (High Gardens)
    Jardines Altos (Taman-taman Hulu)
  • The Paseo de las Adelfas (Walk of the Oleanders)
    Paseo de las Adelfas (Siar Kaki Bunga Jepun)

Rupa asal semasa pemerintahan Nasariyah

Susun atur keseluruhan

Laluan peribadi zaman pertengahan antara Alhambra dan Janatularif

Istana dan taman Janatularif pada asalnya digunakan sebagai tempat percutian peribadi dan istana musim panas untuk kaum kerabat Nasariyah, jauh daripada kerja-kerja pentadbiran di Alhambra.[13][15] Perkarangannya dahulu dikelilingi oleh dinding panjang yang sudah tiada.[17] Dalam hal ini, fungsinya serupa dengan estet-estet desa diraja yang lain yang wujud sejak awal emiriah Umaiyah (abad ke-8-10) Cordoba.[2] Sama seperti estet-estet taman yang lain ini, kemungkinan besar sebahagian besar kawasan Janatularif juga digunakan sebagai dusun, padang ragut untuk kuda, dan kebun untuk bahan-bahan memasak.[3] Salah satu fungsi utama taman-taman Janatularif sebenarnya adalah untuk hasil tani.[7] Dua lagi istana yang berasingan turut dibina di lereng bukit yang berdekatan semasa zaman Nasariyah: Istana Alijares dan Darularusah, namun ia terletak lebih jauh ke timur dan amat terbengkalai.[13] Silla del Moro ("Kerusi Moor"), puing-puing di puncak bukit yang menghadap Janatularif, pernah menjadi kubu dan tempat pemantauan yang melindungi infrastruktur bekalan air di kawasan ini.[14]

Walaupun terdapat pintu masuk utama untuk pelawat di selatan kompleks ini, para pemerintah Nasariyah boleh memasuki istana Janatularif terus dari Alhambra melalui laluan tertutup peribadi, sebahagiannya ditenggelami air dan tersorok di celah-celah dinding, yang menyeberangi jurang di antara kedua-dua lokasi. Laluan ini, yang kebanyakannya masih wujud hari ini, bermula dari Torre de los Picos di sebelah Alhambra, melintasi kebun-kebun dan taman-taman pasar sehingga sampai ke Istana Janatularif melepasi beberapa buah menara berkubu di barat daya istana, menuju masuk terus ke dalam Patio de Polo sekarang. Kira-kira separuh jalan di sepanjang laluan ini terdapat sebuah halaman kecil dengan palung air untuk haiwan. Terdapat juga pintu pagar di sepanjang laluan itu yang bersambung terus ke taman-taman pasar.[13][7]

Kompleks istana

Seksyen kecil yang tinggal di dinding barat lama era Nasariyah di Patio de la Acequia; kebanyakan ini dinding kini telah digantikan dengan gajah menyusu terbuka yang lebih rendah

Patio de la Acequia, Patio de la Sultana dan Tangga Air (Escalera del Agua) semuanya wujud pada zaman Nasariyah sebelum abad ke-16, tetapi Patio de la Sultana telah dibuat semula sepenuhnya sejak itu. Patio de la Acequia mengekalkan elemen-elemen asal yang penting bersama beberapa pengubahsuaian kemudian. Taman-tamannya adalah moden tetapi mengikut susun atur asal: dibahagikan kepada empat bahagian dengan saluran air sepusat mengalir di tengahnya. Astaka di hujung selatan halaman, Pabellón Sur ("Astaka Selatan"), paling banyak diubah suai tetapi asalnya merupakan sebahagian daripada kediaman utama raja dan kerabatnya. Dinding barat daya taman, yang hari ini terdiri daripada gajah menyusu terbuka yang dibarisi tingkap-tingkap menghadap ke arah Alhambra, dahulu ialah dinding-dinding yang lebih tinggi tanpa tingkap, menjadikan taman itu lebih terselindung. Sebahagian pendek dinding asal, yang masih ditutupi hiasan, masih wujud di sebelah utara. Mirador (astaka tinjau) di tengah-tengah dinding itu dahulunya ada tingkap-tingkap rendah dan hiasan stuko di dalamnya. Ia sebahagian daripada dinding asal dan memberikan pemandangan ke luar. Astaka utara halaman, yang terletaknya Salón Regio, mengekalkan lebih banyak unsur-unsur asalnya. Menara unjuran di sebelah utaranya, yang terdapat satu lagi ruang mirador dengan hiasan stuko asal, telah ditambah oleh Ismail I pada tahun 1319. Walau bagaimanapun, tingkat atas astaka kini, yang mempunyai gajah menyusu terbuka, telah ditambah oleh Raja-raja Katolik pada tahun 1494.[7][13]

Janatularif mempunyai semua kemudahan dan serba lengkap. Ini termasuk rumah mandi dan surau, yang sisa tinggalannya telah digali selepas satu kebakaran pada tahun 1958.[4] Rumah mandian itu berkemungkinan terletak berhampiran dengan Patio de la Sultana sekarang, tempat sistem pemanas lantai dan saluran air yang besar lamanya ditemui.[13][7] Ruang solat, yang disebut dalam catatan-catatan abad ke-16, mungkin pernah berada di tapak astaka kecil masa kini yang dipanggil Astaka Romantik (Pabellón Romántico), yang terletak di hulu Tangga Air. Dasaran lama telah ditemui di sini di bawah struktur semasa yang dibina pada tahun 1836.[13][7]

Taman-taman istana itu hari ini sangat berbeza daripada yang asal. Taman-taman semasa menunjukkan gaya Sepanyol pada abad ke-19 dan ke-20.[3] Kerana penerangan oleh Navagero dari awal abad ke-16 dan kerja-kerja penggalian 1958, ciri-ciri asal taman-taman itu kini diketahui. Di Patio de la Acequia, petak-petak bunga tenggelam di bawah paras laluan pejalan kaki di sekitarnya. Petak-petak tersebut tidak terlalu dalam, menunjukkan bahawa ia ditanam dengan tumbuhan yang agak rendah seperti belukar pokok murad, tetapi beberapa lubang yang lebih dalam dibuat untuk tumbuhan-tumbuhan yang lebih besar seperti pokok oren.[13] Pancutan-pancutan Janatularif asal juga berbeza. Jet-jet air di Patio de la Acequia bukan original dan dipasang pada abad ke-19.[2] Walau bagaimanapun, air pancut jet mungkin terdapat juga di beberapa bahagian istana. Contohnya, menurut Navagero, pernah terdapat satu air pancut di salah satu halaman hiliran (mungkin Patio de Polo) yang memancutkan air sembilan meter ke udara. Hal ini disokong oleh infrastruktur bekalan air yang besar di istana itu, yang nampaknya telah membekalkan lebih banyak air daripada yang diperlukan untuk menyiram pokok-pokok sahaja.[13]

Sistem bekalan air

Albercones di atas Janatularif: takungan Nasariyah lama di sebelah kanan, dengan perigi utama dan sisa pelantar menara di sebelahnya; di sebelah kiri ialah dua takungan moden yang ditambah pada abad ke-20

Air masuk ke Janatularif dari Acequia Real (juga dikenali sebagai Acequia del Rey atau Acequia del Sultan), yang juga membekalkan air ke Alhambra dan sebahagian besar sistemnya masih wujud hari ini. Ia mengambil air dari Sungai Darro di tempat yang lebih tinggi di kaki bukit Sierra Nevada, sekitar 6.1 kilometer ke timur Alhambra.[14] Saluran yang lebih kecil dipanggil Acequia del Tercio berpisah dari saluran utama beberapa kilometer ke hulu. Ia melepasi sebuah kawasan yang lebih tinggi dan sampai ke Janatularif berhampiran Pabellón Romántico. Ini membantu menyediakan air ke taman-taman hulu, Tangga Air dan rumah mandian lama. Saluran air utama menuruni bukit dan sampai juga ke istana Janatularif dan membekalkan air ke Patio de la Acequia. Saluran-saluran tersebut umumnya mengalir di permukaan tetapi beberapa bahagian mengalir melalui terowong-terowong yang ditarah dalam batuan dasar. Saluran-saluran ini, digabungkan dengan sistem hidraulik kompleks dengan tangki dan roda air, membekalkan dan mengagihkan air ke semua taman.[13][7][14]

Satu bahagian sistem air ini, dipanggil Albercones, mempunyai tangki air zaman pertengahan yang boleh menyimpan 400 meter padu air. Tangki ini membantu menyiram dusun-dusun dan taman-taman di hulu. Ia kini terletak di lereng bukit di atas Jardines Nuevos. Dua lagi takungan moden juga terdapat di sebelahnya hari ini: satu dibina oleh Torres Balbas pada tahun 1926, dan satu lagi ditambah oleh Prieto Moreno pada tahun 1930-an.[14] Takungan itu dibekalkan dengan air melalui perigi sedalam 17.4 meter yang terletak di atas sebuah pelantar di barat dayanya, yang asalnya ditutupi sebuah menara tanah padat dan di dalamnya ialah sebuah mekanisme roda air yang dikuasai haiwan yang menimba air dari perigi tadi. Perigi itu menuju ke terowong bawah tanah yang keluar berhampiran Paseo de las Adelfas hari ini. Terowong bawah tanah ini menyumberkan air terus dari Acequia Real yang melewati taman, dan juga dari Acequia del Tercio yang lebih tinggi yang melintasinya. Kedua-dua saluran melepasi Albercones dan bercantum sebelum kembali ke arah Alhambra, di mana air memasuki Alhambra melalui akueduk di sebelah Torre del Agua di hujung timur Alhambra.[14]

Rujukan

  1. ^ "Alhambra | Palace, Fortress, Facts, Map, & Pictures". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-15.
  2. ^ a b c d e f Bloom, Jonathan M. (2020). Architecture of the Islamic West: North Africa and the Iberian Peninsula, 700-1800. Yale University Press. m/s. 164. ISBN 9780300218701. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":2" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  3. ^ a b c d e f g h Irwin, Robert (2004). The Alhambra. Harvard University Press. m/s. 59–62. ISBN 9780674063600. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":0" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  4. ^ a b c Barrucand, Marianne; Bednorz, Achim (1992). Moorish architecture in Andalusia. Taschen. m/s. 195, 204. ISBN 3822896322. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":3" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  5. ^ a b Latham, J.D. (1967). "Reflections on the "Ta' Marbuta" in Spanish Toponyms of Arabic Origin". Journal of Semitic Studies. 12 (1): 91–99. doi:10.1093/jss/12.1.91.
  6. ^ Bloom, Jonathan M. (2020). Architecture of the Islamic West: North Africa and the Iberian Peninsula, 700-1800. Yale University Press. m/s. 164. ISBN 9780300218701.
  7. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v López, Jesús Bermúdez (2011). "The Generalife". The Alhambra and the Generalife: Official Guide. TF Editores. m/s. 219–237. ISBN 9788492441129. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":4" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  8. ^ Stalls, Clay (2022). Possessing the Land: Aragon's Expansion into Islam's Ebro Frontier under Alfonso the Battler (1104-1134) (dalam bahasa Inggeris). Brill. m/s. 68. ISBN 978-90-04-47410-9.
  9. ^ a b c García Porras, Alberto (2021). "From Stones to Clay Bowls. Visual Arts of the City's Islamic Past". Dalam Boloix-Gallardo, Bárbara (penyunting). A Companion to Islamic Granada (dalam bahasa Inggeris). Brill. m/s. 41–45. ISBN 978-90-04-42581-1.
  10. ^ a b c d e f g h Arnold, Felix (2017). Islamic Palace Architecture in the Western Mediterranean: A History. Oxford University Press. m/s. 251–258. ISBN 9780190624552. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":32" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  11. ^ Navarro, Julio; Garrido, Fidel; Almela, Íñigo (2017). "The Agdal of Marrakesh (Twelfth to Twentieth Centuries): An Agricultural Space for Caliphs and Sultans. Part 1: History". Muqarnas. 34 (1): 23–42. doi:10.1163/22118993_03401P003.
  12. ^ a b Fábregas García, Adela (2021). "The Economic Sources and Resources of Islamic Granada (2nd–9th/8th–15th Centuries)". Dalam Boloix-Gallardo, Bárbara (penyunting). A Companion to Islamic Granada (dalam bahasa Inggeris). Brill. m/s. 261–262, 271–272. ISBN 978-90-04-42581-1.
  13. ^ a b c d e f g h i j k l m n o Ruggles, D. Fairchild (2000). Gardens, Landscape, and Vision in the Palaces of Islamic Spain. Pennsylvania State University Press. m/s. 170–174. ISBN 9780271018515. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":7" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  14. ^ a b c d e f López, Jesús Bermúdez (2011). "The Acequia del Sultan and the Lost Palaces". The Alhambra and the Generalife: Official Guide. TF Editores. m/s. 239–257. ISBN 9788492441129. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":42" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  15. ^ a b c d Ruggles, D. Fairchild (2011). Islamic Gardens and Landscapes. University of Pennsylvania Press. m/s. 155–156. ISBN 9780812207286. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":5" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  16. ^ "The court of the main canal". Patronato de la Alhambra y Generalife (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-15.
  17. ^ a b c d Hussain, Farhat A (2014). "The Gardens of the Alhambra". Dalam Harney, Marion (penyunting). Gardens and Landscapes in Historic Building Conservation. Oxford: John Wiley & Sons. m/s. 421–429. ISBN 9781118508145. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":6" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  18. ^ Romantic Castles and Palaces, As Seen and Described by Famous Writers, berdasarkan terjemah Esther Singleton; New York: Dodd, Mead & Company, 1901; m/s 169-173.
  19. ^ a b c d Dickie, James (1968). "The Hispano-Arab Garden: Its Philosophy and Function". Bulletin of the School of Oriental and African Studies. 31 (2): 237–248. doi:10.1017/S0041977X0014649X.
  20. ^ "Alhambra, Generalife and Albayzín, Granada". UNESCO World Heritage Centre (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-15.
  21. ^ Wilbaux, Quentin (2001). La médina de Marrakech: Formation des espaces urbains d'une ancienne capitale du Maroc. Paris: L'Harmattan. ISBN 2747523888.
  22. ^ Bearman, P.; Bianquis, Th.; Bosworth, C.E.; van Donzel, E.; Heinrichs, W.P., penyunting (2012). "Būstān". Encyclopaedia of Islam, Second Edition. Brill.
  23. ^ "The soultana's court". Patronato de la Alhambra y Generalife (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-17.

Pautan luar


  • Tapak Rasmi Alhambra dan Janatularif Diarkibkan 2010-08-20 di Wayback Machine
  • Alhambra, Janatularif dan Albayzín, Granada
  • Pelan Janatularif Diarkibkan 2014-10-13 di Wayback Machine
  • l
  • b
  • s
Tapak diraja Sepanyol
Tapak diraja
Patrimonio Nacional
Istana Diraja
Biara
  • Biara Las Descalzas Reales
  • Biara La Encarnación
  • Biara Santa Clara
  • Biara Santa María la Real de Las Huelgas
Lain-Lain
  • Casita del Príncipe (El Escorial)
  • Casita del Príncipe (El Pardo)
  • Casita del Infante
  • Pantheon Lelaki Terkenal
  • Convent of San Pascual
  • Biara Santa Isabel
  • Colegio de Doncellas Nobles
Bekas
Istana Diraja1
  • Alcázar Segovia
  • Alcázar Khalifah Córdoba
  • Alcázar of the Catholic Monarchs
  • Alhambra
  • Aljafería
  • Istana Buen Retiro
  • Istana kota Alcázar Segorbe
  • Istana kota Bellver
  • Istana kota Burgos
  • Istana Del Real
  • Generalife
  • Medina Azahara
  • Istana Miramar
  • Biara Yuste
  • Istana Charles V
  • Palacio de la Magdalena
  • Palacio de la Ribera
  • Istana Diraja Estella
  • Istana Diraja Olite
  • Istana Diraja Perpignan
  • Palau Reial de Pedralbes
  • Palau Reial Major
  • Palacio Real de Valladolid
  • Alcázar Diraja Madrid
  • Torre de la Parada
  • Valldemossa Charterhouse
Bekas
kerusi Sub-negara
  • Castel Nuovo
  • Edificio de las Casas reales
  • Palacio del Virrey
  • Palacio de los Capitanes Generales de Cuba
  • Palacio de los Capitanes Generales de Guatemala
  • Palacio de Pizarro
  • Palacio del Fuerte de Buenos Aires
  • Palacio Real de Quito
  • Palacio Virreinal de Santa Fé de Bogotá
  • Palacio del Gobernador de Agaña
  • Palacio del Gobernador de las Filipinas
  • Palacio de los Gobernadores de Nuevo México
  • Palazzo dei Normanni
  • Istana Diraja Brussels
1Bahagian ini merangkumi istana kerajaan kerajaan abad pertengahan Kristian dan Muslim Kategori  Kategori

37°10′37″N 3°35′07″W / 37.17694°N 3.58528°W / 37.17694; -3.58528

Kawalan kewibawaan Sunting ini di Wikidata
Umum
Perpustakaan negara
  • Sepanyol
  • Jerman
  • Israel
  • Amerika Syarikat
  • Latvia
Lain-lain
  • Aplikasi Berfaset Terminologi Subjek