Pinang

Pinang
Pokok Pinang
Pengelasan saintifik
Alam:
Plantae
Divisi:
Magnoliophyta
Kelas:
Liliopsida
Order:
Arecales
Keluarga:
Arecaceae
Genus:
Areca
Spesies:
A. catechu
Nama binomial
Areca catechu
L.

Pokok pinang (nama saintifik: Areca catechu[1], bahasa Inggeris: betelnut, tulisan Cina: 檳榔) merupakan satu spesis tumbuhan palma yang tumbuh di kebanyakan kawasan tropika Pasifik, Asia, dan bahagian-bahagian Afrika timur. Pokoknya bersaiz sederhana dengan ketinggiannya mencecah 20 meter, dengan diameter batangnya setebal 20-30 sm. Daunnya berukuran 1.5-2m panjangnya, berbucu tajam, dan terdiri daripada anak daun yang banyak bilangannya.

Pinang ditanam untuk memperoleh buahnya yang penting dari segi ekonomi sebagai kunyahan memberi rasa keasyikan digandingkan bersama sirih. Ia mempunyai sejarah yang lama dalam kebudayaan alam orang Melayu; bahkan ia antara empat jenis pokok palma yang disebut-sebutkan dalam Batu Bersurat Talang Tuwo tahun 684 M:

ñiyur pinaṃ hanāu ru-/mviya dṅan samiśrāña yaṃ kāyu nimākan vuaḥña
("nyiur, pinang, enau, rumbia dengan [seumpamanya] yang kayu dimakan buahnya...")[2]:39

Botani

Lukisan abad ke-19 menggambarkan bahagian-bahagian pokok pinang

Batang lurus langsing, dapat mencapai ketinggian 25 m dengan diameter lk 15 sm, meski ada pula yang lebih besar. Pelepah daun berbentuk tabung dengan panjang 80 sm, tangkai daun pendek; helaian daun panjangnya sampai 80 sm, anak daun 85 x 5 sm, dengan hujung sobek dan bergerigi.[3]

Tongkol bunga muncul di bawah pelepah pokok berseludang (spatha) panjang dan mudah rontok, tongkol ini panjangnya lebih kurang 75 sm, bercabang rangkap dengan sumbu hujung sampai panjang 35 sm. Betina bunga terletak pada pangkal berwarna hijau dengan panjang lebih kurang 1.5 sm, ia diapit banyak bunga jantan putih kuning yang melentik tancap berukuran panjang 4 mm dengan setiap satu kuntumnya mempunyai 6 stamen.[3] Buah yang dihasilkan berupa beri bulat memanjang antara 3.5 – 7 sm, ia berwarna merah jingga apabila masak. Kulit buah yang berserabut. Biji 1 berbentuk telur, dan memiliki gambaran seperti jala.[3]

Buah pinang muda

Kegunaan

Hutan Areca catechu di Taiwan

Buah pinang sering dihidangkan dengan dibelah menggunakan kacip dan dimakan bersama sirih dan seberapa barang lain setepak termasuk gambir dan kapur.

Air dari buah pinang muda dipercayai mampu mengubati darah dalam air kencing serta mengurangkan rabun bila dititik pada kornea. Abu buahnya yang dibakar boleh digunakan untuk membersihkan gigi secara kadar sederhana. Pinang muda dan benzoin disapukan pada luka berkhatan.[4]

Hubungan dengan manusia

Buah pinang amat penting dalam adat-adat perkahwinan orang Melayu serta orang India, bahkan adat meminang sendiri datangnya dari pengimbuhan kata pinang lagi-lagi dengan perlambangan kuat buah pinang kepada lelaki dipasangkan kepada daun sirih yang perempuan dalam masyarakat tertentu.[5]:32-33

Masyarakat penganut Hindu mengaitkan buah pinang dengan dewa Brahma dalam penyatuan dewa bertiga kepercayaan mereka.[5]:32

Pulau Pinang yang terletak berdekatan pantai barat Semenanjung Malaysia, dinamakan sempena nama "pinang". Pokok pinang juga merupakan asal bagi nama pekan Bukit Pinang yang merupakan bekas ibu negeri dan kota diraja Kedah sebelum abad ke-18.

Sifat kimia

Buah pinang ini mengandungi bahan alkaloid yang unik didapati seperti arekaina dan arekolina yang dianggap boleh menyebabkan rasa dalam penggunanya apabila dikunyah.

Rujukan

  1. ^ Pinang palm or Betel-nut palm , Areca catechu, Family Arecaceae
  2. ^ Coedes, George (1930). "Les inscriptions malaises de Çrivijaya". BEFEO. 30 (1): 29–80.
  3. ^ a b c Steenis, CGGJ van. 1981. Flora, untuk sekolah di Indonesia. PT Pradnya Paramita, Jakarta. Hal. 141.
  4. ^ "Pinang". Sirih Pinang. Perpustakaan Negara Malaysia. 1999. Dicapai pada 9 Julai 2021.
  5. ^ a b Rooney, Dawn F. (1992). "The Symbolism". Betel Chewing Traditions in South-East Asia. Kuala Lumpur Malaysia: Oxford University Press. ISBN 0-19-588620-8.

Pautan luar

  • Profil spesies di Sistem Maklumat Biokepelbagaian Malaysia
  • Profil spesies di Flora and Fauna Web Lembaga Taman Negara Singapura
  • Plant Cultures: Betelnut botany and history Diarkibkan 2008-08-27 di Wayback Machine
  • Photos of The fruit of Areca catechu
  • l
  • b
  • s
Ikon tunas

Rencana berkenaan budaya ini ialah rencana tunas. Anda boleh membantu Wikipedia dengan mengembangkannya.

  • l
  • b
  • s